bisnes

Tiga tahun makin WOW

Oleh Nabil Basaruddin

CJ WOW SHOP menyasarkan jualan sebanyak RM300 juta tahun ini, lebih tinggi berbanding tahun lalu dipacu pelancaran kempen ulang tahun ketiganya, ‘3 Tahun Makin WOW’.

Ketua Pegawai Eksekutif MP CJ ENM Sdn Bhd, Kim Yang Hyun berkata, CJ WOW SHOP mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun ini, apabila berjaya melepasi sasaran pendapatan sebanyak RM200 juta tahun lalu.

“Kejayaan berterusan kami dalam tempoh tiga tahun menunjukkan pengguna di Malaysia semakin terbuka terhadap aktiviti beli-belah di rumah.

“Pencapaian ini meletakkan CJ WOW SHOP pada kedudukan lebih kukuh dalam melaksanakan komitmen untuk menyediakan pengalaman ‘shoppertainment’ unik bagi pelanggan yang bukan saja menghiburkan tetapi juga bermaklumat dan boleh dipercayai.

“Kami akan terus mempertingkat kualiti kehidupan pelanggan dengan meningkatkan akses mereka kepada produk dan perkhidmatan mengikut kehendak semasa,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Sejak dilancarkan pada 2016, CJ WOW SHOP terus mempertingkat pengalaman pelanggan serta memperluas asas rakan niaga yang sebahagiannya terdiri daripada usahawan tempatan.

Ketika ini, CJ WOW SHOP mempelbagaikan tawarannya daripada 27 produk kepada lebih 1,000 produk termasuklah produk kelengkapan rumah, barangan elektrik, peranti elektronik, kecantikan dan fesyen.

Sempena tahun ketiga operasinya, rangkaian beli-belah di rumah ini melancarkan CJ WOW SHOP dalam Bahasa Mandarin di ntv7, sekali gus meningkatkan lagi akses mereka kepada gaya hidup inovatif serta pelbagai produk gaya hidup.

Di samping itu, CJ WOW SHOP terus mengukuhkan tawarannya dalam segmen pengguna Melayu melalui pelbagai program di TV9 dan berjaya mengukuhkan kedudukan saluran itu serta ntv7 sebagai saluran penting bagi kandungan beli-belah di rumah bahasa Melayu dan Cina yang bermutu tinggi.

Dalam usaha merancakkan lagi program ini, CJ WOW SHOP memperkenalkan ‘WOW Cantik’, rancangan fesyen dan kecantikan yang memaparkan penstriman sosial secara siaran langsung.

Rancangan ini akan diacarakan oleh Yana Samsudin dan disiarkan di TV9 pada jam 10 pagi setiap Jumaat.

Kempen ‘3 Tahun Makin WOW’ yang diadakan selama tiga minggu bermula dengan rancangan siaran langsung khas berdurasi 23 jam pada 30 dan 31 Mac di ntv7, 8tv dan TV9.

CJ WOW SHOP adalah usaha sama antara Media Prima Bhd dengan CJ ENM Co Ltd (Bahagian Beli Belah Di Rumah) dari Korea Selatan, iaitu pengendali TV beli-belah di rumah nombor di Asia.

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 3:51pm
d