bisnes

Komited capai pelaburan RM13b

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

LEMBAGA Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) optimis untuk mencapai peningkatan pelaburan sebanyak RM13 bilion dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) tahun ini berbanding RM11.2 bilion yang direkodkan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, MIDA komited untuk menarik pelaburan yang berkualiti dan berteknologi tinggi ke dalam negara.

Katanya, industri E&E akan terus berkembang kerana ia menjadi penyumbang utama kepada eksport negara.

“Potensi pelaburan dalam industri ini sangat luas, malah dengan prestasi pelaburan yang direkodkan tahun lalu yang dapat menyediakan 11,180 peluang pekerjaan, MIDA akan terus berusaha menarik pelabur ke Malaysia.

“Malah, dengan kehadiran syarikat multinasional (MNC) seperti Intel, Broadcom, Infineon, Jabil Circuit termasuk syarikat besar Malaysia iaitu Inari, Testhub, Existech, MI Equipment dan Vitrox akan terus menyumbang kepada pertumbuhan kukuh industri E&E di negara ini,” katanya pada sidang media MIDA di sini, semalam.

Beliau berkata, selain itu MIDA turut menyokong rantaian bekalan tempatan bagi pertumbuhan automotif semikonduktor yang juga sebahagian daripada industri E&E.

Menurutnya, MIDA akan mengadakan pameran SEMICON Southeast Asia 2019 yang berlangsung pada 7 hingga 9 Mei 2019 dengan kerjasama SEMI Southeast Asia.

Sementara itu, Presiden SEMI Southeast Asia, Ng Kai Fai berkata, sebanyak 260 syarikat dalam dan luar negara akan menyertai pameran terbabit dengan lebih 460 tapak pameran disediakan.

“Kami melihat perolehan pasaran semikonduktor akan terus meningkat pada tahun akan datang dan pameran ini bakal menjadi platform kepada pemain E&E di seluruh dunia untuk menerokai potensi yang ada,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 9:11am
d