bisnes

Aset PNB naik 6.9% kepada RM298.5b

Oleh Nabil Basaruddin

ASET di bawah pengurusan (AUM) Permodalan Nasional Bhd (PNB) naik 6.9 peratus kepada RM298.5 bilion pada 2018 berbanding RM279.2 bilion pada 2017, meskipun berdepan persekitaran ekonomi global dan pasaran kewangan yang mencabar.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, pertumbuhan AUM disokong dana unit amanahnya yang menyaksikan unit dalam edaran meningkat 7.9 peratus kepada 236.6 bilion.

Beliau berkata, jumlah akaun juga naik kepada 13.8 juta daripada 13.2 juta, mencerminkan keyakinan pemegang unit dalam PNB dan 14 dana unit amanahnya.

“Pendapatan bersih proforma yang disatukan PNB kekal stabil sebanyak RM17.0 bilion pada 2018 berbanding RM17.7 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya dalam Laporan Tahunan 2018 PNB yang dikeluarkan, semalam.

Selain itu, PNB juga berjaya melancarkan dua dana harga pembolehubah baharu iaitu ASN Equity 5 dan ASN Sara 2, yang mencatatkan prestasi yang menggalakkan dengan lebih 800 juta unit dijual sehingga akhir 2018.

Sementara itu, Zeti berkata, PNB juga akan mempercepatkan rancangan untuk mempelbagaikan portfolio pelaburannya kepada aset yang boleh memberikan hasil lebih tinggi.

Zeti berkata, ia akan dilaksanakan melalui Pelan Penciptaan Nilai bagi syarikat strategik dan teras milik sayap pelaburan strategik kerajaan itu.

Selain itu, katanya, strategi kepelbagaian PNB pada tahun ini termasuklah meningkatkan pelaburan hartanahnya, disebabkan keyakinan terhadap peluang dalam hartanah terdapat di peringkat global dan dalam segmen tertentu seperti logistik.

“Pada tahun ini, dengan pelaksanaan Rangka Kerja Pelaburan Hartanah, PNB merancang untuk membolehkan dana unit amanahnya mendapat pendedahan kepada kelas aset hartanah dengan melabur dalam dana hartanah global,” katanya.

Dalam pada itu, Zeti berkata, PNB juga akan melaksanakan pengemaskinian Rancangan Strategik 2017-2022 menerusi Kajian Semula Separuh Penggal dengan memberi tumpuan kepada beberapa segmen pada tahun ini.

Antaranya adalah peruntukan aset strategik dan pengurusan kecairan optimum, pengurusan risiko organisasi dan transformasi organisasi.

“Kajian semula ini penting bagi PNB untuk terus mempertingkatkan potensi dalam terus memberikan pulangan yang mampan untuk tempoh jangka panjang,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 9:43am
d