bisnes

Shopee dan Maxx 'N Go tawar diskaun 20 peratus

Oleh Nabil Basaruddin

SHOPEE, platform e-dagang nombor satu Malaysia menjalin kerjasama dengan Maxx ‘N Go, aplikasi mudah alih penjagaan kereta untuk menawarkan servis penyelenggaraan kereta melalui tempahan secara atas talian.

Melalui perkhidmatan yang disediakan oleh Maxx ‘N Go itu, pengguna Shopee kini boleh menyelenggara kereta dengan cepat, mudah dan menjimatkan masa.

Pengurus Kategori Shopee, Michael Lim berkata, untuk menikmati servis ini, pengguna hanya perlu daftar masuk melalui akaun Shopee masing-masing dan membeli bahagian kereta, aksesori dan minyak pelincir daripada peniaga Shopee yang mengambil bahagian.

Seterusnya, katanya, pihak Maxx ‘N Go akan menghubungi pembeli bagi menjadualkan temu janji sebelum menghantar pasukan juruteknik profesional untuk memasang produk itu di lokasi pembeli.

“Sebagai memudahkan pembeli untuk mengenal pasti peniaga dan produk yang menawarkan perkhidmatan itu, pembeli hanya perlu mencari logo ‘Maxx N Go’ yang tertera pada imej produk.

“Perkhidmatan Maxx ‘N Go dengan Shopee ini kini boleh ditempah oleh pengguna yang berada di sekitar Lembah Klang dan Seremban dengan lebih banyak lokasi pada masa akan datang,” katanya pada majlis menandatangani kerjasama dua syarikat itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis kerjasama itu disempurnakan oleh Pengarah Ketua Teknikal Maxx ‘N Go, Tengku Djan Ley bersama Lim, yang mewakili Shopee.

Antara perkhidmatan ditawarkan termasuklah servis menukar minyak, bahagian kereta dan pemasangan aksesori yang mana ia bermula seawal 8.30 pagi sehingga 6.30 petang setiap hari dalam tempoh seminggu.

Tengku Djan berkata, beli-belah dalam talian kini telah mengalami transformasi kepada pengalaman yang lebih mudah dan menyeronokkan kepada pengguna di Malaysia.

Katanya, kerjasama pihaknya dengan Shopee mewujudkan perkhidmatan serba eksklusif bagi servis penyelenggaraan seperti pemasangan aksesori kereta pertama di negara ini.

“Apa yang menarik, kami akan menghantar juruteknik profesional dan terlatih untuk melaksanakan apa yang telah ditempah oleh pembeli terus kepada mereka tanpa perlu pergi ke bengkel,” katanya.

Bersempena dengan kerjasama ini, Maxx ‘N Go dan Shopee menawarkan promosi pelancaran dari 3 hingga 5 April ini dengan 20 peratus diskaun dengan mana-mana pembelian daripada produk yang dibeli dari peniaga dan pemasangan percuma dari Maxx ‘N Go bernilai RM35.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 2:08pm
d