bisnes

RHB lancar kad debit Visa Pelbagai Mata Wang

Oleh Nora Mahpar

KUALA Lumpur: RHB Banking Group Bhd (RHB) melancarkan kad debit Visa Pelbagai Mata Wang yang menawarkan akses kepada 13 mata wang asing bersama ringgit.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, RHB adalah bank Malaysia pertama yang memperkenalkan kad debit berkenaan.

Beliau berkata, dengan pengenalan kad debit ini, rakyat Malaysia tidak lagi perlu membawa wang tunai yang banyak bersama mereka ketika melancong.

“Lebih penting, pelanggan akan menikmati kadar tukaran wang yang kompetitif dengan 13 negara terpilih apabila menggunakan kad debit ini tanpa sebarang caj penukaran atau yuran transaksi,” katanya pada majlis pelancaran Kad Debit Visa Pelbagai Mata Wang RHB di sini, semalam.

Khairussaleh berkata, menerusi pengenalan kad debit baharu itu, kumpulan menyasarkan untuk mengeluarkan 15,000 kad debit ‘Multi Currency Visa’ baharu dalam tempoh setahun selepas ia dilancarkan.

Katanya, pelanggan kad debit berkenaan boleh mengurus kadar turun naik pertukaran mata wang asing dan menikmati akses dalam pelbagai mata wang di mana saja di seluruh dunia.

“Di samping itu, pelanggan boleh membuat pengeluaran tunai di semua mesin juruwang automatik (ATM) di seluruh dunia selain menikmati nilai kadar tukaran mata wang asing yang lebih tinggi berbanding kad prabayar pelbagai mata wang sedia ada di dalam pasaran,” katanya.

Antara 13 mata wang terpilih berkenaan adalah dolar Amerika Syarikat (AS), dolar Kanada, yen Jepun, pound Sterling, dolar Australia, dolar New Zealand, dolar Hong Kong, riyal Saudi, dolar Singapura dan baht Thailand.

Mengulas lanjut, Khairussaleh berkata, kumpulan akan meluaskan penggunaan kad debit pelbagai mata wang ke negara lain tidak lama lagi bagi meluaskan jangkauan perkhidmatannya.

“Ketika ini kita sedang kenal pasti negara yang kerap dilawati rakyat Malaysia dan tidak lama lagi, senarai mata wang asing yang terbabit akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Pelanggan boleh membuka akaun pelbagai mata wang RHB dengan tawaran kad debit ‘Multi Currency Visa’ dengan minimum deposit sebanyak AS$1,000 (RM4,200). Pelanggan yang memiliki akaun RHB boleh membuka akaun ini secara automatik.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 9:12am
d