bisnes

Buka 20 cawangan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUALA Lumpur : QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) akan meneruskan pelan penambahbaikan rangkaian restoran Pizza Hutnya, sekali gus menyasarkan untuk membuka 20 cawangan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif QSR Brands (Bahagian Restoran), Merrill Pereyra berkata, pihaknya memperuntukkan antara RM800,000 hingga RM1 juta bagi membuka satu cawangan bergantung kepada lokasi dan saiz.

Katanya, QSR Brands melaksanakan pelan penambahbaikan pada 16 Oktober 2016 dan Pizza Hut mencatatkan prestasi memberangsangkan tahun ke tahun.

“Kami merancang membuka 60 cawangan baharu dalam tempoh tiga tahun.

“Tahun ini 20 restoran Pizza Hut dijangka dibuka dan kami sedang meneliti lokasi strategik termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bisnes Metro di majlis memperkenalkan The Singing Pizza pertama di Malaysia, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Pemasaran Pizza Hut Malaysia, Jean Ler, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia/Singapura/Indo-China, Kenny Ong dan barisan artis terkemuka tempatan.

Pereyra berkata, pihaknya juga akan memberi tumpuan memperluas pasaran di Sabah dan Sarawak tahun ini.

“Setakat ini terdapat 399 restoran Pizza Hut di seluruh negara dan 52 daripadanya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

The Singing Pizza menjadikan kotak piza biasa sebagai kotak muzik yang memainkan lagu daripada senarai lagu eksklusif dan didatangkan dengan pelbagai reka bentuk yang menarik.

Senarai lagu The Singing Pizza terdiri daripada 200 lagu yang akan dikemas kini setiap dua minggu, termasuk lagu dalam trend dan trek eksklusif yang belum lagi dilancarkan oleh artis seperti Fattah Amin, Alvin Chong, Zaim, Shalma dan Aman Ra.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 9:32am
d