bisnes

Unjur lebih 150,000 pengunjung pada MSAM

Oleh hmdigital

KUALA Lumpur: Permodalan Nasional Bhd (PNB) menyasarkan lebih 150,000 pengunjung pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) tahun ini yang akan diadakan di Sungai Petani, Kedah.

Acara literasi kewangan tahunan yang bakal berlangsung selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 April depan itu turut disertai oleh syarikat strategik PNB termasuk Maybank Bhd, Sime Darby Plantation Bhd, S P Setia Bhd dan UMW Holdings Bhd.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pengunjung berpeluang melihat sendiri keteguhan syarikat terbabit yang mana mereka melabur dalam unit amanah saham diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) seperti Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Malaysia.

“Menerusi usaha ini, kami berharap pemegang unit serta masyarakat secara keseluruhannya akan memperoleh kefahaman mengenai hubung kait antara risiko dan pulangan.

“Kami mahu menitikberatkan kepada pelabur bahawa setiap pelaburan mempunyai risiko dan pulangan yang diberikan terpulang kepada turun naik pasaran,” katanya pada sidang media selepas melancarkan MSAM 2019 di sini, semalam.

Pada majlis sama, Abdul Rahman turut memperkenalkan logo baharu untuk MSAM sempena tahun ke-20 penganjurannya.

Logo berkenaan melambangkan kerjasama rapat antara kerajaan, pemegang unit, PNB dan syarikat pelaburannya.

Abdul Rahman berkata, acara berkenaan akan dipenuhi dengan program dan aktiviti interaktif yang menarik sesuai dengan semua peringkat usia.

“Selain itu, MSAM 2019 juga menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk pengunjung termasuklah Perodua Aruz, motosikal Honda Dash dan telefon pintar iPhone pada majlis perasmian,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 9:54am
d