bisnes

Mudah pembayaran

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

PETALING Jaya: Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) menyasarkan untuk mencapai sasaran perolehannya menerusi kerjasama dengan rakan kongsi pembayaran.

Ketua Perolehan Kumpulan, Ignatius Ong berkata, kerjasama yang dijalinkan itu bertujuan memudahkan pelanggan Malaysia Airlines untuk membuat pembayaran.

“Selain itu, kami juga mahu memastikan bahawa kami berjaya mencapai sasaran perolehan (dalaman) yang telah kami tetapkan,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan hadiah kepada pemenang kempen DuitNow di sini, semalam.

Payment Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dengan kerjasama Malaysia Airlines mengadakan majlis penyerahan hadiah kepada pemenang pertama kempen DuitNow yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM4 juta.

Menerusi kempen berkenaan, Malaysia Airlines menaja pakej percutian bernilai RM100,000.

Ong berkata, pihaknya juga telah menyediakan sejumlah peruntukan untuk syarikat lain seperti PayNet dan Maxis.

“Kerjasama dengan PayNet adalah positif bagi pertumbuhan perolehan Malaysia Airlines. Kami menyasarkan golongan remaja dari aspek peningkatan peratusan,” katanya.

Katanya, pihaknya teruja kerana menjadi satu daripada rakan kongsi PayNet bagi kempen berkenaan.

“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kami membuat pelaburan yang besar dalam menaik taraf produk dan perkhidmatan kami.

“Dengan adanya semua penambahbaikan ini, kami yakin bahawa pemenang yang terpilih akan mengalami percutian yang hebat, bermula dan berakhir dengan ‘Malaysian Hospitality’,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 11:50am
d