bisnes

TNB berdepan kos tinggi arang batu

Oleh Mahanum Abd Aziz

TENAGA Nasional Bhd (TNB) masih berdepan tekanan kos bahan api penjanaan elektrik yang lebih tinggi berbanding tarif asas elektrik yang ditetapkan.

Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie berkata, antara yang terbesar adalah kos arang batu kerana harganya masih lebih tinggi di pasaran antarabangsa pada AS$90 setan, berbanding tarif asas yang ditetapkan pada AS$75 setan.

Dalam masa sama, katanya penjanaan elektrik yang menggunakan bahan api gas juga lebih tinggi sekitar RM28 untuk setiap juta unit thermal British (MMBtu) di pasaran berbanding tarif asas RM27.20 per MMBtu ditetapkan bagi Januari 2019 hingga Disember 2020.

“Memang harga arang batu nampak turun, namun daripada perspektif komoditi antarabangsa harganya lebih tinggi daripada tarif asas yang ditetapkan untuk penjanaan kuasa.

“Daripada pandangan TNB, selagi dasar semakan semula ke atas kos bahan api dan kos penjanaan lain (ICPT) dilaksanakan, kita mengikut sistem yang ada dan kerajaan akan membuat semakan kos pembekalan elektrik setiap enam bulan.

“Maka, terpulang kepada kerajaan sepenuhnya (untuk melakukan semakan tarif), kerana bukan tugas TNB untuk campur tangan apa yang diputuskan kerajaan,” katanya kepada media selepas menjadi panel Forum CEO 2019, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, fokus TNB kini adalah untuk menyediakan syarikat untuk mendepani implikasi revolusi industri 4.0 (IR4.0).

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 5:59pm
d