bisnes

Amrin ke Boustead

Oleh Ahmad Fiesal Othman

BOUSTEAD Holdings Bhd (BHB) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin sebagai Pengarah Urusan baharunya berkuat kuasa 6 Mei 2019.

BHB dalam kenyataannya berkata, Amrin yang memiliki pengalaman luas selama 30 tahun di arena korporat memulakan kerjayanya dalam industri perkhidmatan kewangan dan memegang beberapa pelantikan penting.

Amrin memainkan peranan penting dalam memacu kejayaan syarikat-syarikat terkemuka Malaysia yang antaranyya termasuk Renong Bhd, Malaysian Resources Corporation Bhd, Sistem Televisyen Malaysia Bhd, Media Prima Bhd dan terbaru, Sime Darby Property Bhd.

“Amrin memegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Acadia University, Kanada dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari University of Hull, United Kingdom (UK).

“Beliau adalah ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), UK dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA),” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas pelantikan itu, Pengerusi Boustead Holdings, Tan Sri Panglima Mohd Ghazali Che Mat berkata, pihaknya dengan sukacitanya mengalu-alukan Amrin sebagai Pengarah Urusan baharu Kumpulan Boustead.

“Kami yakin pengalamannya dan rekod prestasi terbukti akan membantu memajukan Kumpulan ke hadapan. Kepakarannya yang luas dan ketajaman pemikiran perniagaannya tentunya sangat baik untuk pembangunan Kumpulan, terutama mengambil kira landskap yang semakin kompetitif,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 7:17pm
d