bisnes

Kuasai lima peratus

Oleh Sofyan Rizal Ishak

BIO Integrasi Sdn Bhd (Bio Integrasi) berhasrat untuk menguasai lima peratus pasaran lampin pakai buang dan tuala wanita di negara ini dalam tempoh lima bulan akan datang melalui pengenalan dua produk terbaharunya iaitu BaeBae bagi lampin pakai buang dan Flowra bagi tuala wanita.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Paduka Sharizal Sarip berkata, syarikat melihat angka itu mampu untuk dicapai kerana kedua-dua jenama itu adalah lampin pakai buang dan tuala wanita halal pertama di dunia yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

“Saya jangka produk ini akan digunakan oleh orang ramai kerana ia menggunakan bahan yang diiktiraf JAKIM dan diyakini selamat melalui penggunaan kimia yang dibenarkan,” katanya pada pelancaran produk BaeBae dan Flowra sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk memasarkan produk itu di pasaran domestik secara dalam talian dalam masa terdekat sebelum memasuki pasar raya besar pada masa akan datang.

“Kami menjangkakan kedua-dua produk ini akan memasuki pasaran komersial yang membabitkan cawangan fizikal seawal pertengahan bulan ini.

“Kami juga menyasarkan untuk memasuki pasaran eksport membabitkan negara Asia Tenggara, Timur Tengah, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Afrika untuk tempoh jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Bio Integrasi merancang untuk membuka kilang pengeluaran bagi kedua-dua produk terbabit dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Sharizal berkata, langkah itu bertujuan bagi memastikan kedua-dua jenama itu menjadi jenama tempatan sepenuhnya.

“Pada masa ini, kami menggunakan kilang di China sebagai pengeluar peralatan tulen (OEM) bagi semua produk kami ini dengan kontrak selama tiga tahun.

“Selepas tempoh itu, kami diberi kebenaran untuk menghasilkan sendiri produk ini dengan perkongsian teknologi tinggi dari China dan seterusnya membuka kilang kami sendiri yang dirancang untuk dibuka di Bandar Enstek, Nilai,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 8:41am
d