bisnes

Rancang hala tuju

Oleh Nabil Basaruddin

KEGAGALAN sesebuah syarikat untuk mewujudkan pelan hala tuju perniagaan bagi tempoh 10 tahun menyebabkan hampir 60 peratus daripadanya gulung tikar selepas tiga tahun beroperasi.

Pengasas syarikat perundingan pemasaran, PW Concept Sdn Bhd, Pat Wahid berkata, perancangan perniagaan yang menyeluruh perlu dilaksanakan supaya apa sahaja yang dijalankan dapat kekal kukuh dan berdaya maju.

Beliau berkata, antara kesilapan peniaga khususnya usahawan Bumiputera adalah mengetepikan peranan serta fungsi pemasaran yang penting kepada sesuatu bisnes yang diusahakan.

“Kebanyakan syarikat yang tutup akibat tidak mampu bertahan dalam industri disebabkan tiada pelan hala tuju perniagaan yang jelas, cekap dan bermatlamat.

“Malah, apa yang terjadi dalam situasi ketika ini, ramai yang masih menggangap pemasaran adalah promosi dan mereka hanya boleh menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

“Namun itu adalah tanggapan yang salah kerana pemasaran perlu dilakukan sebelum anda memulakan perniagaan kerana ia membantu untuk membina jenama dan empayar perniagaan,” katanya dalam satu temu bual di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, dengan pelan hala tuju atau perancangan perniagaan itu, ia dapat membantu sesuatu perniagaan itu lebih berinovasi untuk produknya mengikut tempoh masa yang ditetapkan daripada pelan asal.

“Ini penting kerana tanpa inovasi, anda mungkin akan kehilangan pelanggan yang dahulunya menjadi peminat setia kepada produk yang disediakan.

“Kita ambil contoh perniagaan jagung, untuk tempoh tiga tahun pertama anda mungkin boleh jual jagung rebus namun pelanggan akan bosan dan perlukan kreativiti seperti menghasilkan aiskrim jagung dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, katanya, berdasarkan standard dunia, syarikat global memperuntukkan sekurang-kurangnya tiga peratus daripada sasaran jualan tahun hadapan untuk dilaburkan bagi tujuan pemasaran perniagaan.

“Jenama atau perniagaan yang bertahan bukan sahaja mempunyai nilai jenama yang kuat malah ia mampu bertahan, seterusnya menjadi peneraju industri.

“Di negara ini, kita boleh lihat jenama yang kuat seperti AirAsia, FashionValet, Neelofar dan Adabi yang mempunyai kekuatan mereka tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Pat yang juga pakar dunia pemasaran akan mengadakan kursus The Marketing Boss pada 20 dan 21 April ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan akan berkongsi pelbagai teknik pemasaran dalam perniagaan.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 10:37am
d