bisnes

50 unit Perodua Bezza Limited Edition

Oleh Sofyan Rizal Ishak

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memperkenalkan 50 unit Perodua Bezza Limited Edition bersempena penganjuran Malaysia Autoshow 2019 yang bermula 11 hingga 14 April ini.

Model edisi terhad itu dibuka untuk tempahan hanya di Malaysia Autoshow 2019 dengan harga RM44,890 iaitu harga atas jalan sebelum insurans.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata Perodua Bezza Limited Edition adalah model yang menggambarkan personaliti pemilik yang unik dan sporty.

“Dengan aksesori GearUp yang eksklusif kepada model ini, anda akan lebih menonjol dan menyerlah di khalayak ramai semasa memandu sedan kegemaran rakyat Malaysia ini,” katanya pada acara pembukaan tirai bagi memperkenalkan model terbabit bersempena Malaysia Autoshow 2019 di Serdang, hari ini.

Berdasarkan Bezza 1.3 Premium X, Perodua Bezza Limited Edition tampil dengan warna luaran Ivory White, kit badan GearUp kemasan hitam matte yang dikelilingi jejalur merah serta spoiler belakang berwarna hitam matte.

Beliau berkata, model itu juga didatangkan dengan bumbung hitam, rim aloi berwarna kelabu gelap, cermin sisi berwarna merah dan pelekat bercorak geometrik pada bonet serta pada bahagian sisi.

Menurutnya, bahagian dalaman Perodua Bezza Limited Edition lebih bergaya dengan penambahan sarung tempat duduk GearUp dengan kemasan jahitan merah, corong udara berwarna merah serta karpet koil GearUp.

“Hanya 50 unit Perodua Bezza Limited Edition akan dikeluarkan dan ia hanya boleh ditempah di Malaysia Autoshow 2019 dari 11 hingga 14 April di MAEPS Serdang. Kunjungi kami di sini dan jadi salah seorang dari 50 pemilik bertuah model khas ini,” katanya.

-TAMAT-

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 5:26pm
d