bisnes

Proton Persona dan Iriz 2019 buat kemunculan awam pertama

Oleh Nabil Basaruddin

PROTON Holdings Bhd (Proton) memperkenalkan secara rasmi model terbaharu bagi Proton Iriz dan Proton Persona 2019 bersempena Malaysia Autoshow 2019 yang bermula semalam (11 April) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Kedua-dua model itu mula dipertontonkan kepada pihak media pada Februari dan Mac lalu serta pelanggan terpilih semasa acara yang diadakan pada hujung minggu di cawangan Proton tertentu.

Acara automotif itu memberi peluang kepada orang ramai melihat buat pertama kali model hatchack dan sedan itu secara lebih dekat lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata barisan jurutera dan pereka bentuk syarikat bekerja keras selama 18 bulan bagi menambahbaik dua model itu dan yakin pembeli di negara ini dapat merasai sendiri hasil usaha dan kerja keras itu.

Menurutnya, setakat ini lebih 8,000 tempahan diterima bagi kedua-dua model ini dan syarikat percaya angka itu akan terus meningkat sebaik sahaja kereta terbabit mula dijual.

“Proton amat berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana sudi untuk memperkenalkan dua model itu pada penganjuran Malaysia Autoshow 2019,” katanya pada majlis memperkenalkan Proton Iriz dan Proton Persona terbaharu di Serdang, hari ini.

Majlis terbabit menyaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasminya memperkenalkan model terbaharu itu.

Beliau berkata, dua model itu mendapat rekaan baharu iaitu hasil kerjasama antara kumpulan reka bentuk Proton dan pereka dari studio reka bentuk Geely dari seluruh dunia.

Antara ciri baharu itu termasuklah ethereal bow serta corak infinite weave yang dipadankan pada gril hadapan serta bampar hadapan dan belakang dan reka bentuk rodanya.

“Selain perubahan pada gaya dan ciri pintar yang baharu, jurutera pembangunan kenderaan di Proton juga membuat pelbagai penambahbaikan kepada dua kereta ini bagi mampu meningkatkan kualiti dan pengalaman pemanduannya,” katanya.

Untuk Proton Iriz, sebanyak 367 penambahbaikan dilakukan manakala untuk Proton Persona, sebanyak 303 penambahbaikan telah dibuat pada pelbagai bahagian kereta terbabit.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 5:42pm
d