bisnes

Maybank sasar agih RM85 bilion pinjaman gadai janji, PKS

Oleh Mahanum Abdul Aziz

MAYBANK merancang untuk mengagihkan RM50 bilion pinjaman gadai janji dan RM35 bilion pinjaman kepada syarikat kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Farid Alias, berkata ia adalah usaha kumpulan perbankan terkemuka tempatan itu menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, setakat 31 Disember 2018, Maybank mempunyai RM87.5 bilion dalam lembaran imbangannya bagi gadai janji untuk kediaman dan bukan kediaman.

Katanya, Maybank mengagihkan pinjaman gadai janji baharu sebanyak RM12.2 bilion pada tahun lalu.

“Kadar kelulusan bagi gadai janji kepada mereka yang layak setakat Mac adalah 80 peratus sementara kadar kelulusan industri pula ialah 70 peratus.

“Jadi industri sebenarnya menyokong peminjam bagi membiayai pembelian rumah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Maybank di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsuddin dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Mengenai tumpuan Maybank bagi 2019, Abdul Farid berkata, kumpulan perbankan itu akan memberi tumpuan kepada lima bidang keutamaan bagi memastikan ia terus berkembang.

Beliau berkata, lima bidang tumpuan itu ialah memacu pertumbuhan pendapatan, memastikan produktiviti yang lebih baik, menguruskan kualiti aset, kecairan dan pengurusan modal yang kukuh serta pendigitalan.

Katanya, dalam pendigitalan, kumpulan akan terus melabur dalam mempertingkatkan pengalaman pelanggan menerusi pelancaran produk dan perkhidmatan digital baharu.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 7:00pm
d