bisnes

Rancang buka lima Ar-Rahnu X'Change NSTP

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KOPERASI New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merancang untuk membuka lima cawangan pajak gadai Islam Ar-Rahnu X’Change NSTP dalam tempoh tiga tahun.

Pengerusinya, Mohd Fadzil Abdul Ghani berkata, pihaknya merancang untuk membuka cawangan di luar Lembah Klang dan antara lokasi yang sedang dipertimbangkan adalah di Negeri Sembilan dan Melaka.

Katanya, Koperasi NSTP juga membuka cawangan kedua Ar-Rahnu X’Change NSTP di Bandar Seri Putra, semalam dan yang pertama di Dataran Mentari Petaling Jaya pada 2014.

“Modal pelaburan untuk membuka satu cawangan ar-rahnu dianggarkan antara RM300,000 sehingga RM500,000. Bagi cawangan kedua ini Koperasi NSTP memperuntukkan sebanyak RM600,000 termasuk modal pusingan.

“Perniagaan pajak gadai Islam adalah perniagaan yang berpotensi dan berisiko rendah serta dijangka akan menjadi sumber pendapatan kedua koperasi selepas pendapatan daripada pembiayaan kepada anggota.

“Malah, setakat ini segmen ar-rahnu telah menyumbang 20 peratus kepada nilai perolehan koperasi dan melalui perancangan untuk membuka lebih banyak cawangan Ar-Rahnu X’Change NSTP, kami optimis jumlah sumbangan akan meningkat,” katanya pada pelancaran cawangan terbaharu Ar-Rahnu X’Change NSTP di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Wilayah Persekutuan, Zahari Omar dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Mohd Fadzil berkata, pihaknya juga menyasarkan transaksi nilai gadaian sebanyak RM20 juta tahun ini.

“Sebelum ini, Ar-Rahnu X’Change NSTP Dataran Mentari berjaya merekod nilai gadaian lebih kurang RM10 juta dan kami jangka jumlah yang sama juga dapat dicapai daripada cawangan kedua ini,” katanya.

Beliau berkata, Ar-Rahnu X’Change adalah perniagaan pajak gadai Islam di bawah sistem francais Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad.

Di Ar-Rahnu X’Change, margin pembiayaan yang diberikan adalah 65 peratus daripada nilai semasa pasaran ke atas cagaran dengan kadar upah simpan iaitu 65 sen sebulan bagi setiap RM100 marhun (nilai marhun kurang daripada RM1,000) dan 70 sen sebulan (setiap RM100 bagi nilai marhum lebih RM1,000).

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 11:28am
d