bisnes

Produk Al-Awfar lahir 23 jutawan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyasarkan pertumbuhan saiz dana RM800 juta serta peningkatan 230,000 pelanggan menjelang akhir tahun ini disokong dengan pengenalan produk Al-Awfar Baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Muazzam Mohamed berkata, sejak 10 tahun produk ini diperkenalkan, Al-Awfar melahirkan 23 jutawan dan terus mendapat sambutan menggalakkan sehingga kini.

“Kami mencapai rekod prestasi baik dengan saiz dana berjumlah RM2.45 bilion iaitu membabitkan 771,496 akaun.

“Kami juga memperbaharui struktur hadiah cabutan dan meningkatkan nilai hadiah daripada RM10 juta kepada RM14 juta sempena pengenalan Al-Awfar Baharu ini,” katanya selepas melancarkan Al-Awfar Baharu di sini, semalam.

Al-Awfar adalah akaun pelaburan berisiko rendah berdasarkan konsep Mudarabah yang mana dana Al-Awfar dilaburkan dalam portfolio pembiayaan perumahan dan aset tetap sedia ada bagi memastikan pelaburan yang kukuh.

Al-Awfar terbuka kepada individu, entiti perniagaan, persatuan, badan agama, sekolah, universiti, kelab dan pertubuhan.

Sementara itu, bagi hadiah cabutan istimewa setengah tahun berupa kereta Mercedes C200 Vantgarde, Honda Civic, pakej percutian atau umrah dan telefon pintar.

Manakala cabutan suku tahunan pula terbahagi kepada dua kategori iaitu Jutawan dan Al-Awfar Junior di mana pemenang berpeluang memenangi wang tunai RM1 juta dan bagi Al-Awfar Junior pula berpeluang memenangi iMac, Macbook Pro, iPhone dan wang saguhati.

Pada masa sama, Bank Islam masih meneruskan cabutan bulanan kempen Jom Pindah Gaji sehingga Disember 2019.

Pelanggan hanya perlu memindahkan gaji ke Bank Islam untuk layak menyertai cabutan ini yang terbuka kepada kakitangan kerajaan dan semua agensi di bawahnya.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 11:57am
d