bisnes

LBS terima dua anugerah kepujian

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Berhad (LBS) menerima anugerah Pembangunan Pasaran Massa Terbaik (Bertanah) bagi pembangunan Rentak Perdana @ LBS Alam Perdana dalam anugerah hartanah tahunan edisi keenam PropertyGuru Asia (Malaysia).

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, LBS juga merangkul dua Anugerah Kepujian, kategori Pembangunan Perbandaran untuk LBS Alam Perdana dan kategori Pembangunan Kondo Pertengahan (Lembah Klang) untuk Residensi Bintang Bukit Jalil.

“Anugerah ini adalah satu penghormatan bagi LBS kerana ia menandakan satu lagi kejayaan bagi kami terutamanya dalam sektor rumah mampu dimiliki.

“Sejajar dengan pelan perumahan mampu milik nasional, LBS akan terus membangunkan lebih banyak rumah yang mampu dimiliki dan kami berharap dapat mewujudkan lebih banyak ruang yang memenangi anugerah,” katanya dalam satu kenyataan.

LBS Alam Perdana adalah perbandaran yang diilhamkan oleh kehidupan kemasyarakatan di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, merangkul anugerah Kepujian bagi kategori Pembangunan Perbandaran Terbaik dengan rumah yang terletak di dalam komuniti berpagar dan berpengawal.

Sementara itu, Residensi Bintang Bukit Jalil (RBBJ) menerima anugerah Kepujian bagi kategori Pembangunan Kondominium Pertengahan Terbaik (Lembah Klang).

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 8:03am
d