bisnes

Lebar sayap ke Durban

Sri Ayu Kartika Amri

ISKANDAR PUTERI: UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) kini sedang berunding dengan rakan kongsi berpotensi di Afrika Selatan bagi membentuk usaha sama dalam membangunkan beberapa projek hartanah di negara itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pihaknya melihat pasaran hartanah terutama di Durban, Afrika Selatan bakal menyumbang kepada pertumbuhan segmen hartanah luar negara UEM Sunrise.

Katanya, antara projek yang akan dilaksanakan di sana membabitkan pembangunan runcit, apartmen dan hotel.

“Kami akan bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi memastikan urusan pembangunan projek dapat dilaksanakan lebih lancar kerana mereka lebih mahir dari segi ekosistem selain mempunyai rangkaian dan pembekal di sana.

“Pemilikan secara usaha sama ini membabitkan tanah pembangunan bercampur berhadapan pantai dengan keluasan 12.43 hektar di Durban.

“Durban adalah pelabuhan kargo terbesar di Afrika Selatan dan salah satu daripada pelabuhan paling sibuk di sana dan ia juga menjadi pintu masuk utama bagi pergerakan barang ke Afrika Selatan.

“Malah, hartanah milik kami terletak berdekatan dengan pelabuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena program lawatan media di beberapa projek pembangunan kediaman dan komersial UEM Sunrise di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, syarikat menjangkakan dapat memuktamadkan rakan kerjasama berkenaan menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, sebagai permulaan, UEM Sunrise merancang untuk membangunkan dua plot tanah di Durban dan sekiranya projek ini berjaya, pihaknya menjangkakan nilai hartanah berkenaan akan meningkat.

“Terdapat banyak pengilang kenderaan jenama terkemuka seperti BMW, Toyota dan Lexus beroperasi di sana, justeru ia menunjukkan aktiviti ekonomi yang positif tersedia di Durban,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, meskipun pasaran Australia ketika ini sedikit lemah, UEM Sunrise melihat perkara berkenaan sebagai peluang untuk mengembangkan pemilikan tanah yang berpotensi di negara itu.

“Sebagai langkah strategik masa hadapan, syarikat akan tetap membangunkan projek kediaman khususnya bangunan bertingkat yang akan memberi fokus kepada pelanggan tempatan di Australia dengan tawaran harga lebih rendah,” katanya.

Di samping itu, UEM Sunrise turut mempunyai portfolio hartanah di Singapura melalui pembangunan Marina One dan Duo Tower yang siap sepenuhnya pada 2017 dan lebih 90 peratus habis terjual.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 8:30am
d