bisnes

UMWT perkenal hatchback Toyota Yaris Serba Baharu

Oleh Lizam Ridzuan

KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor (UMWT), pengimport dan pengedar rasmi kenderaan Toyota memperkenalkan model hatchback Toyota Yaris Serba Baharu.

Presidennya, Ravindran K berkata, sudah agak lama pihaknya tidak menawarkan model berkenaan yang mana kali terakhir Yaris dipasarkan pada 2006 hingga 2012 yang terjual melebihi 1,000 unit.

“Zaman berubah begitu juga permintaan pelanggan terutama golongan muda yang mahukan hatchback tampil lebih bergaya dan sporty. Maka, ia adalah masa yang tepat untuk melancarkan Yaris Serba Baharu ini,” katanya.

Tiga varian ditawarkan iaitu Yaris 1.5J, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5G dengan enjin berkuasa 1,496 cc DOHC Dual-VVT-i 4 silinder dengan kuasa maksimum 107 PS pada 6,000 rpm dan tork 140Nm pada 4,200 rpm.

Model yang dilengkapi transmisi 7-kelajuan Sport Sequential Shiftmatic CVT itu juga dipadankan dengan rim aloi 16 inci (varian E dan G) selain dilengkapi lampu hadapan dan belakang LED serta lampu nyalaan siang (DRL).

Untuk kemasan dalaman ia disertakan dengan kerusi fabrik biru dan Paparan-Maklumat-Pelbagai TFT (varian G) serta mod pemanduan Sport dan Eco, pemain DVD bersaiz 7 inci serta skrin sesentuh, USB, MP3, Voice Dial, AUX dan Bluetooth.

Sebanyak lima pilihan warna ditawarkan iaitu Citrus Mica Metallic, Red Mica Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Yaris dijual pada harga RM70,888 (1.5J), RM76,888 (1.5E) dan RM83,888 (1.5G).

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 8:02am
d