bisnes

Agih pinjaman RM90b

Oleh Che Wan Badrul Alias

KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank menyasar mengagihkan pinjaman perumahan dan pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masing-masing sehingga RM50 bilion dan RM40 bilion dalam tempoh tiga tahun.

Pengasas dan Pengerusi Emeritusnya, Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata, sasaran itu mencerminkan sokongan kukuh yang berterusan terhadap usaha kerajaan untuk menggalakkan pemilikan hartanah dan perniagaan PKS di negara ini.

Katanya, kumpulan kini adalah pembiaya domestik terbesar bagi kedua-dua segmen itu dengan portfolio pinjaman bagi hartanah kediaman mencecah RM110.5 bilion dan pembiayaan PKS pada RM69.5 bilion pada akhir 2018.

“Satu daripada bidang fokus utama kemampanan kumpulan adalah pemberian pinjaman bertanggungjawab, khususnya dalam pembiayaan pembeli rumah pertama dan sokongan keperluan kewangan PKS.

“Kumpulan turut terbabit secara proaktif dengan pelbagai inisiatif skim pembiayaan kediaman mampu milik dan sokongan PKS oleh Bank Negara dan kerajaan,” katanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-53 di Kuala Lumpur, semalam.

Berdasarkan prestasi kewangan yang stabil 2018, kumpulan mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 37 sen yang dibayar pada 14 Mac lalu, menjadikan keseluruhan dividen 69 sen sesaham untuk tahun lalu.

Pengumuman itu menyaksikan nilai pembayaran dividen RM2.68 bilion atau 47.9 peratus daripada keseluruhan keuntungan bersih tahun lalu.

Mengulas pengembangan perniagaan ke luar negara, Teh berkata, kumpulan itu merancang untuk membuka lapan cawangan baharu di Vietnam tahun ini bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa.

Katanya, rancangan itu bertujuan mengembangkan kehadirannya di Vietnam selepas pembukaan lima cawangan tahun lalu, menjadikan kehadiran terkini bank itu di negara terbabit sebanyak 18 cawangan.

“Tahun lalu, keuntungan sebelum cukai operasi antarabangsa Kumpulan Public Bank meningkat 0.4 peratus kepada RM690.7 juta.

“Ia menyaksikan operasi antarabangsa kumpulan khususnya dari Hong Kong dan Kemboja menyumbangkan 9.7 peratus kepada keuntungan sebelum cukai keseluruhan kumpulan tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 11:01am
d