bisnes

Malaysia Airlines optimis capai peningkatan ahli MHexplorer

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PETALING JAYA: Malaysia Airlines optimis untuk mencapai peningkatan ahli MHexplorer kepada 200,000 menjelang akhir tahun ini terutama menerusi kerjasamanya dengan Brand Expedia, Grab dan Maxis.

Ketua Pegawai Perolehan Kumpulan Malaysia Airlines, Ignatius Ong berkata, setakat ini pihaknya mempunyai 50,000 keahlian MHexplorer.

Katanya, kerjasama strategik itu juga akan memberi lebih banyak manfaat kepada MHexplorer iaitu program perjalanan untuk pelajar secara digital.

“Kerjasama dengan Brand Expedia, Grab dan Maxis ini adalah bagi menawarkan penyelesaian perjalanan di bawah satu bumbung untuk segmen pelajar kami.

“Pelajar juga akan menikmati diskaun sehingga lapan peratus bagi hotel domestik dan 10 peratus hotel antarabangsa di bawah Brand Expedia,” katanya kepada media di majlis pengumuman kerjasama antara Malaysia Airlines dengan Brand Expedia, Grab dan Maxis, semalam.

Ong berkata, ahli MHexplorer juga berpeluang mendapat penjimatan lapan peratus bagi pengangkutan Grab ke lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Beliau berkata, Ahli MHexplorer juga boleh menikmati penjimatan sehingga RM120 apabila mereka mendaftar pelan Hotlink Flex Plus yang menawarkan data 10GB dan panggilan telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa had.

“Pelan mudah alih itu pada asalnya berharga RM60 sebulan kini berharga hanya RM50 sebulan bagi tempoh 12 bulan,” katanya.

Penuntut berusia 18 hingga 26 tahun boleh mendaftar bagi program MHexplorer di www.malaysiaairlines.com/ MHexplorer.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 7:16am
d