bisnes

Sedia dana RM31 bilion

Oleh Nurhayati Abllah

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd (RHB) menyasarkan kelulusan pembiayaan baharu dan tambahan berjumlah RM31 bilion untuk manfaat 18,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia menjelang 2021.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada usaha RHB dalam menyediakan akses pembiayaan selari dengan usaha kerajaan untuk merangsang penyertaan ekonomi PKS ke peringkat lebih meluas.

“Pada 2018, kami meluluskan pembiayaan sebanyak RM7.2 bilion bagi menyokong pertumbuhan lebih 4,000 syarikat PKS di Malaysia.

“Matlamat kami adalah menyediakan perkhidmatan bukan hanya kemudahan kredit tetapi turut menawarkan ekosistem holistik yang mampu menyediakan produk inovatif dan memberi nilai tambah kepada PKS bagi membolehkan golongan itu fokus kepada pengembangan perniagaan mereka.

“Ia juga selari dengan matlamat kami untuk muncul sebagai bank eksosistem PKS menjelang 2020,” katanya pada taklimat media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) RHB, semalam.

Beliau berkata, RHB berusaha membantu PKS dalam menjalankan perniagaan harian lebih mudah dengan merangka ekosistem yang menyediakan penyelesaian bersepadu bagi memenuhi keperluan PKS.

Setakat ini, RHB menghubungkan lebih 100,000 PKS seluruh negara melalui penyelesaian pengurusan tunai dan e-penyelesaian PKS, termasuk penyelesaian gaji dan perakaunan.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 7:19am
d