bisnes

SP Setia lancar skim miliki rumah sewa beli

Oleh hmdigital

SHAH ALAM: SP Setia Berhad (SP Setia) memperkenalkan skim pembiayaan Setia FlexKey yang membolehkan orang ramai memiliki rumah melalui penyelesaian pemilikan rumah secara sewa beli (RTO) khusus bagi rumah baharu dilancarkan.

Skim yang ditawarkan dengan kerjasama Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) akan membolehkan pembeli untuk memilih unit rumah pertama mereka di lokasi diingini daripada hartanah baharu dilancarkan berbanding hanya memilih unit rumah yang sudah siap dibina.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Khor Chap Jen berkata, Setia FlexKey adalah skim pembiayaan alternatif yang membantu pembeli rumah pertama untuk memiliki rumah impian di mana mereka akan menikmati keistimewaan untuk menukarkan bayaran sewa dan pendahuluan bagi membeli rumah pada harga dikunci.

“Pilihan membeli rumah SP Setia yang baru dilancarkan dijangka menjadi faktor menarik untuk pembeli rumah pertama memiliki rumah kerana ketiadaan bayaran pendahuluan 10 peratus dan pelaksanaan yuran sewa yang bakal menjadikan pemilikan rumah berpatutan,” katanya kepada media selepas pelancaran Setia FlexKey di sini, semalam.

Untuk permulaan, skim terbabit menawarkan rumah bertanah baharu dilancarkan di Setia Alam dan Setia Ecohill 2 bagi dipilih pembeli rumah kali pertama.

Beliau berkata, pelancaran itu dilakukan tepat pada masanya kerana ia alternatif lebih bijak untuk mencapai aliran tunai lebih baik berikutan kos kemasukan yang rendah dan membabitkan deposit yang dibayar balik dalam tiga bulan.

Menurutnya, skim itu juga membolehkan pembeli rumah untuk memiliki hartanah terbabit pada harga dipersetujui jika pembeli ingin membeli rumah itu dalam tempoh lima tahun.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 7:23am
d