bisnes

Bank Rakyat catat keuntungan bersih RM1.24 bilion

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUMPULAN Bank Rakyat, terus menunjukkan prestasi baik didorong faktor sumbangan yang lebih tinggi daripada aktiviti pembiayaan dan perbendaharaan serta kos operasi yang terkawal.

Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat bagi tahun kewangan berakhir Disember 2018 sebanyak RM1.86 bilion dan keuntungan bersih sebanyak RM1.24 bilion.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Bank Rakyat berkata, bagi jumlah aset pula, kumpulan berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 1.4 peratus atau RM1.44 bilion kepada RM106.89 bilion, berbanding RM105.45 bilion sebelum ini.

Katanya, peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan kukuh aset perbendaharaan sebanyak 8.3 peratus atau RM2.54 bilion kepada RM33.23 bilion sejajar dengan keperluan kawal selia untuk megekalkan tahap Aset Cair Berkualiti Tinggi (HQLA) yang mencukupi.

“Pencapaian yang memberangsangkan itu dicapai meskipun berdepan dengan cabaran kepada margin keuntungan bersih dan juga pelaksanaan Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 9 bagi piawaian peruntukan yang baharu.

“Menerusi prestasi yang kukuh dan fokus dalam pelan perancangan strategik, kumpulan berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Bank Koperasi yang paling tinggi keuntungannya serta sebagai institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada kepelbagaian ke atas portfolio lain, pembiayaan peribadi berjumlah RM54.88 bilion, menurun 2.0 peratus atau RM1.12 bilion sejajar dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk mengurangkan kebergantungan secara keseluruhan ke atas pembiayaan peribadi.

Sementara itu, bagi menyokong seruan kerajaan untuk menambahkan akses terhadap pendanaan, strategi segera yang dilaksanakan perusahaan kecil dan sederhana (SME) ialah melalui penubuhan sembilan pusat serantau untuk SME dan koperasi.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 7:40pm
d