bisnes

TNB belanja RM15.4b sokong vendor

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tidak ramai yang tahu bahawa gergasi utiliti negara, Tenaga Nasional Bhd (TNB) membelanjakan sejumlah RM15.4 bilion bagi pembangunan vendor sejak 1994.

Perbelanjaan yang besar ke atas elemen terpenting dalam ekonomi domestik itu terzahir dalam bentuk kontrak kepada vendor, khususnya perusahaan kecil dan sederhana.

Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie berkata, TNB aktif dalam menyokong pembangunan vendor tempatan.

“Sebahagian daripada mereka berkembang dan mampu memasarkan produk mereka ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata, sejak 2014 separuh daripada perolehan TNB dianugerahkan kepada vendor tempatan.

TNB juga memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan sejak penubuhannya pada 1951, ketika ia masih dikenali sebagai Lembaga Letrik Pusat.

Ketika itu, ia menyediakan biasiswa kepada pelajar Tanah Melayu untuk berkursus di Kolej Teknikal Brighton di England.

“Sejak awal hingga hari ini, kami masih mengekalkan penyediaan biasiswa dan bantuan pendidikan sebagai salah satu komponen utama tanggungjawab sosial korporat TNB,” katanya.

Syarikat melalui penubuhan Yayasan Tenaga Nasional pada 1993, menyokong lebih daripada 10,000 pelajar siswazah dengan kos melebihi RM1 bilion.

Beliau berkata selain biasiswa sedia ada, ia juga memperkenalkan program biasiswa MyBetterFuture yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah atau B40 meliputi semua kaum.

Program itu yang dimulakan tahun lalu menyediakan 945 pelajar daripada golongan B40 dengan yuran tuisyen serta elaun poket untuk meringankan beban keluarga mereka.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 7:18am
d