bisnes

Public Bank konsisten catat keuntungan

Oleh Bisnes HM

PUBLIC Bank Group mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM1.82 bilion bagi suku pertama 2019, meningkat 1.4 peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Perolehan meningkat kepada RM5.57 bilion daripada RM5.35 bilion bagi tempoh sama.

Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata, keuntungan konsisten Public Bank khususnya disumbangkan oleh pertumbuhan deposit dan pinjaman kumpulan yang teguh, disokong oleh kemantapan kualiti aset.

Katanya, di sebalik landskap perbankan yang semakin mencabar, Kumpulan dapat mencapai 4.8 peratus pertumbuhan tahunan bagi jumlah pinjaman domestik dan 4.9 peratus pertumbuhan deposit domestik tahunan pada suku pertama 2019.

“Peningkatan dalam portfolio pinjaman ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan positif dalam pembiayaan hartanah kediaman, pemberian pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelanggan korporat untuk pembelian hartanah komersial dan modal kerja,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, ketika persekitaran operasi masih lagi diselubungi cabaran yang semakin meningkat dan ketidaktentuan berterusan, Public Bank Group terus mengekalkan kedudukan utama sebagai bank Malaysia paling cekap kos dengan kualiti aset terbaik.

“Ini jelas dilihat dalam pulangan atas ekuiti bersih syarikat sebanyak 14 peratus, nisbah kos ke pendapatan yang cekap 33.8 peratus dan nisbah pinjaman terjejas kasar terendah pada 0.5 peratus,” katanya.

Pada suku pertama 2019, jumlah pinjaman kasar Public Bank Group berkembang pada kadar tahunan 3.9 peratus, manakala pinjaman domestik pada kadar lebih pantas 4.8 peratus, di sebalik cabaran dalam persekitaran operasi.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 5:22pm
d