bisnes

Affin Bank tumpu segmen pengguna dan PKS

Oleh Sofyan Rizal Ishak

AFFIN Bank Berhad (Affin Bank) menyasarkan pertumbuhan pembiayaan sebanyak tiga hingga empat peratus pada tahun ini dipacu melalui portfolio pengguna serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, sasaran konservatif itu adalah selari dengan persekitaran pasaran terkini yang mencabar dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan tumbuh antara 3.4 peratus dan 4.8 peratus.

“Selain itu, kami memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM150 juta tahun ini dengan sebahagian digunakan bagi pembangunan infrastruktur teknologi maklumat kami,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Affin Bank di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, Affin Bank menyalurkan pembiayaan sebanyak RM45.7 bilion merentasi semua portfolionya pada tahun lalu.

Pada masa ini, sumbangan daripada portfolio pengguna adalah sebanyak 50 peratus, PKS (lapan peratus) manakala baki selebihnya adalah korporat.

Menurutnya, Kumpulan merancang untuk memperkembangkan portfolio PKS kepada 20 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Untuk mencapainya, kami mewujudkan pasukan dan pusat perniagaan (BC) seluruh negara bagi mengakses pasaran dengan lebih baik dan membangunkan lagi portfolio PKS kami.

“Kami kini memiliki BC yang terletak di hampir semua lokasi seluruh negara bagi membantu kami melakukan kajian pasaran bertujuan mengenali pelanggan dengan lebih baik,” katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 7:31pm
d