bisnes

Kebakaran tak jejas operasi PCG [METROTV]

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

INSIDEN kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor baru-baru ini tidak akan menjejaskan operasi Petronas Chemicals Group Bhd (PCG), malah syarikat itu berada dalam landasan untuk memulakan operasi komersialnya pada suku keempat tahun ini.

Pengerusi PCG, Datuk Md Arif Mahmood berkata, insiden kebakaran yang berlaku baru-baru ini membabitkan kemudahan milik bahagian penapisan dan tiada kaitan dengan bahagian kimia.

“Apa yang akan kami lakukan ialah mengasingkan bahagian yang terjejas (terbakar), manakala bagi bahagian yang tidak terjejas, pembangunannya akan diteruskan seperti biasa.

“Setakat ini, kilang petrokimia kami di PIC kini sudah 98 peratus siap dibina dan berada dalam landasan untuk mula beroperasi secara komersial pada suku keempat tahun ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-21 syarikat itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sazali Hamzah.

PIC pada 12 April lalu mengalami kebakaran pada jam 1.25 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Mengulas lanjut mengenai PIC, Md Arif berkata, ia mampu menyumbang pengeluaran 3.3 juta tan setahun (tpa) produk petrokimia kepada kumpulan jika beroperasi sepenuhnya.

“Namun, kebiasaannya pada tahun pertama operasi, kemudahan ini tidak akan beroperasi sepenuhnya kerana kami mahu melihat terlebih dulu bagaimana prestasinya.

“Selepas itu, kami berharap akan dapat memaksimumkan pengeluarannya dan mungkin seawal tahun depan,” katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 7:38pm
d