bisnes

F&N sedia hadapi cukai gula

Oleh BERNAMA

PETALING JAYA: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) telah bersedia untuk melaksanakan cukai gula yang berkuat kuasa pada 1 Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, walaupun ia satu cabaran besar bagi syarikat memandangkan 90 peratus daripada portofolio produknya akan terjejas oleh cukai berkenaan, F&N yakin mampu membendung impaknya ke atas kebanyakan kategori yang terbabit dan mengurangkan kesan ke atas syarikat.

“Daripada 90 peratus daripada produk F&N, 70 peratus boleh diformulasikan semula, tetapi ia akan membabitkan kos tambahan.

“Masih ada beberapa varian yang kami sedang mencuba. Kami akan melihat berapa banyak kos yang boleh diserap. Kenaikan harga hanya akan menjadi pilihan terakhir,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan separuh pertama F&N, semalam.

Lim berkata, tiga hala tuju umum akan diambil syarikat itu untuk mengurangkan impak cukai gula, iaitu menyediakan resipi asal dalam saiz pek yang lebih kecil, mengurangkan resipi gula dan transformasi portfolio menerusi inovasi dalam kategori produk kesihatan.

Beliau berkata, F&N melabur RM30 juta dalam perbelanjaan modal di kilangnya di Shah Alam bagi membolehkan pengeluaran beberapa produk mulai Oktober depan.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 6:50am
d