bisnes

B10 tiada masalah

Oleh Nurhayati Abllah

SHAH ALAM: Kerajaan memperuntukkan perlindungan insurans bagi penggunaan B10 sebagai usaha menggalakkan pelaksanaan program biodiesel itu di Malaysia.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, peruntukan insurans kepada pengguna itu sudah lama dilaksanakan sejak program B10 dilancarkan.

“Kami menyediakan RM5 juta peruntukan insurans untuk penggunaan B10. Sudah lima tahun penggunaan B10 dijalankan tetapi sehingga kini tiada sebarang aduan masalah.

“Sejak B10 dilancarkan, ramai daripada kalangan pengusaha stesen minyak menawarkan produk itu tetapi orang ramai tidak nampak (tidak mengetahui) mengenai kebaikan biodiesel itu.

“Sehingga kini, kementerian saya dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tidak menerima sebarang aduan mengenai penggunaan biodiesel. Jadi B10 tidak mempunyai masalah dan saya sendiri sudah menggunakannya sejak empat bulan lalu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen SAJI Sayangi Sawitku di sini, semalam.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd, Datuk Haris Fadzilah Hasan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn Bhd, Shammim Kamruzaman.

B10 terdiri daripada kandungan 10 peratus biodiesel sawit dan 90 peratus diesel petroleum.

Mengulas lanjut, Kok berkata, rakyat Malaysia perlu lebih terbuka dan menerima kebaikan penggunaan B10 seperti yang sudah dijalankan di Indonesia.

“Ini kerana, ia dapat membantu meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam negara, sekali gus menaikkan harga komoditi itu,” katanya.

Dalam pada itu, Kok turut menggesa lebih ramai pengeluar sawit turut sama memberi sokongan dan komitmen bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap peranan minyak sawit dalam kehidupan seharian.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan program B10 bagi sektor pengangkutan bermula 1 Februari 2019.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik sebagai berkata, penggunaan B10 itu bagi semua jenis kenderaan diesel seperti pacuan empat roda, lori dan bas juga akan mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 1.6 juta tan karbon dioksida setahun.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 7:04am
d