bisnes

Sasar RM200,000

Oleh Sofyan Rizal Ishak

SUBANG JAYA: Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), pengendali rangkaian peruncitan terkemuka negara menyasarkan kutipan RM200,000 untuk tabung program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Mydin Prihatin.

Tabung yang menyasarkan golongan asnaf dan anak yatim berdaftar di seluruh negara yang dikenal pasti itu menyaksikan orang ramai boleh menderma melalui pembelian barangan jenama tertentu dengan setiap nilai belian antara 5 sen hingga 50 sen disalurkan kepada 14 rumah kebajikan yang dipilih mengikut negeri.

Pengarah Urusannya Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, program itu adalah satu platform terbaik untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk menderma di saluran tepat, diyakini dan diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

“Kutipan daripada tabung program ini akan diagihkan sepanjang tahun ini dan kami yakin ia mungkin mampu mencapai lebih daripada sasaran ditetapkan.

“Kami juga harap aktiviti CSR ini bukan saja dilaksanakan sepanjang Ramadan malah ia akan dijadikan aktiviti semasa Kumpulan ini pada masa depan,” katanya pada pelancaran Mydin Prihatin, di sini.

Antara jenama pembekal yang terbabit dalam program ini adalah P&G, Nona, Sunquick, Enricos, Enaq, Coca Cola Malaysia, Gardenia, Trichy, Beras Juara, Antabax dan Mamee.

Dalam masa sama, orang ramai boleh menyumbang secara atas talian melalui pembelian barangan jenama Mydin sendiri di platform e-dagang terkemuka Shopee dengan nilai sebanyak 20 sen.

Sementara itu, Mydin melancarkan Kempen Girang Syawal Tiba 2019 yang membabitkan pelbagai aktiviti dan tawaran istimewa menjelang Ramadan dan Syawal yang akan tiba tidak lama lagi.

Pelbagai aktiviti bakal mengisi ruang sepanjang kempen ini termasuk peragaan fesyen pakaian Aidilfitri yang menampilkan koleksi jenama Mikhail dan Mikayla iaitu jenama pakaian Mydin sendiri.

Ameer berkata, promosi Mydin Girang Syawal Tiba 2019 ini turut membabitkan koleksi baju raya lelaki, wanita, kanak-kanak, sedondon yang terkini di samping pilihan kurma import, kuih raya dan pelbagai barangan keperluan rumah dan dapur.

“Promosi ini menawarkan koleksi baharu dengan harga baju melayu yang berpatutan iaitu bermula daripada RM39 hingga RM79 serta baju kurung (RM39 hingga RM119),” katanya.

Terdapat juga tawaran barangan segar seperti ayam, ikan, sayuran dan lain-lain melalui promosi Hari-Hari Mydin Murah yang telah bermula sejak 8 Mac lalu.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 7:11am
d