bisnes

Katil pintar dengan 2,000 titik sensor

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Slumberland Marketing Sdn Bhd (Slumberland Malaysia) memperkenalkan produk terbaharunya, Slumberland MyZmartBed iaitu katil pintar sempena sambutan ulang tahun ke-100 jenama itu tahun ini.

Katil pintar sebenar itu bakal merubah situasi industri pada masa depan kerana ia direka khusus untuk orang ramai dengan tilam yang boleh disesuaikan mengikut keperluan dan setiap pergerakan tidur penggunanya.

Pengarah Urusannya, Michael Teoh berkata, katil itu dikuasakan dengan aplikasi MyZmartBed, sambungan WiFi dan pam pintar serta lapisan sensor MyZmartBed dengan lebih 2,000 titik sensor diletakkan di setiap inci tilam bagi memastikan ia dapat meliputi lima zon utama tubuh dan disesuaikan secara automatik mengikut posisi ketika tidur.

“Slumberland MyZmartBed membolehkan pengguna memilih sama ada lebih berminat kepada tilam lembut atau lebih anjal untuk tidur atau memilih bahagian tubuh mana yang lebih memerlukan sokongan berdasarkan keperluan tubuh masing-masing,” katanya pada majlis pelancaran Slumberland MyZmartBed di sini, baru-baru ini.

Katil itu memiliki teknologi lapisan pintar yang dipatenkan daripada Responsive Surface Technology (ReST) dan memenangi dua anugerah utama iaitu Anugerah Inovasi CES 2015 dan Anugerah NSF SleepTech 2019.

Produk yang mempunyai teknologi sensor yang dilindungi lebih 20 paten antarabangsa ini memiliki pensijilan perubatan dan digunakan di hospital Amerika Syarikat sejak 20 tahun lalu.

Beliau berkata, katil itu memiliki tiga tetapan mod iaitu manual, posisi auto dan automatik bagi disesuaikan dengan keperluan sokongan dan keselesaan tubuh badan masing-masing.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 7:34am
d