bisnes

Manfaat kepakaran Splash

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Wipro Consumer Care (Wipro), syarikat penjagaan diri kedua terbesar di Malaysia yakin langkah pengambilalihan Splash Corporation (Splash) yang berpangkalan di Filipina dapat membantu mengukuhkan kehadiran jenama produknya di Asia Tenggara.

Presiden Rantau Asia Tenggara dan Timur Tengah-Afrika untuk Wipro, Kumar Chander berkata, Splash adalah syarikat penjagaan diri nombor satu di Filipina dan pengambilalihan itu adalah yang terbesar sejak pihaknya memiliki Unza iaitu syarikat dari Malaysia pada 2007.

Beliau berkata, usaha itu adalah sasaran syarikat untuk menjadi tiga pemain industri utama dalam pasaran penjagaan diri di Asia serta mencapai jualan AS$2 bilion pada 2023.

Katanya, Wipro dapat memanfaatkan kepakaran serta kebolehan bersama Splash dalam bidang pembuatan, penyelidikan dan pembangunan bertaraf dunia bagi memacu pertumbuhan.

“Memiliki Splash akan memperkukuhkan portfolio jenama produk dan ia membantu syarikat melengkapkan kehadiran di Asia Tenggara.

“Malah, ia berperanan menjadikan Wipro Unza yang berpangkalan di Malaysia memainkan peranan besar sebagai pusat inovasi dan pembuatan bagi produk segmen ini.

“Kami menjangka eksport syarikat dari Malaysia akan meningkat sehingga dua angka seterusnya menyumbang prestasi jualan yang lebih baik,” katanya pada sidang media mengenai pengambilalihan itu di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Perniagaan Antarabangsa Wipro, Deepak Chandran dan Pengurus Besar Perniagaan Antarabangsa dan Pemasaran Splash, Marco Manuel Nieto.

Wipro mempunyai pelbagai produk penjagaan diri di bawahnya seperti Romano, Bio Essence, Dashing, Enchanteur dan Safi manakala jenama dibawa Splash ialah SkinWhite, Maxi-Peel dan Vitress.

Kumar berkata, pihaknya dijangka memuktamadkan pengambilalihan itu pada Jun dan bermula separuh kedua tahun ini, produk Splash akan berada di Malaysia.

Menurutnya, Wipro akan meninjau peluang membawa jenama produknya yang terdiri daripada penjagaan diri lelaki, kulit dan losyen badan kepada capaian lebih luas.

“Selain Filipina, pengambilalihan itu memberi akses pasaran lebih luas terutama yang mempunyai kehadiran Splash seperti Indonesia, Vietnam, Hong Kong dan Timur Tengah,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 8:55am
d