bisnes

Taman tema air Hasbro pertama di dunia

Oleh Alzahrin Alias

KUALA LUMPUR: Meridian Bhd (Meridian) bakal membangunkan Malaysia Tourism City (MTC) di Kuala Linggi, Melaka yang menempatkan taman tema air Hasbro pertama di dunia.

Hasbro, jenama permainan antarabangsa dengan kira-kira 1,000 hak intelek seperti Nerf, My Little Pony, Mr Potato Head, Play-Doh, Battleship, Monopoly, Elefun & Friend dan Mousetrap.

Perjanjian pelesenan itu diperoleh melalui M101 Holdings Sdn Bhd, sebuah entiti persendirian Pengarah Eksekutif Meridian, Datuk Seth Yap.

Mengulas lanjut, Yap berkata MTC dijangka memberi pendapatan tambahan kepada sektor pelancongan negara sebanyak RM5 bilion.

Katanya, MTC dengan keluasan 251 hektar itu merangkumi empat cabang utama iaitu pelancongan massa, pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan dan ekopelancongan.

“MTC mempunyai empat cabang pelancongan dan fasa pertama akan dilancarkan tahun ini dengan sasaran pelaburan RM120 juta.

“Fasa pertama akan menempatkan beberapa tarikan utama pelancongan seperti pasar minggu dan sebahagian daripada taman tema serta hotel.

“Secara keseluruhannya, MTC dapat mewujudkan sekurang-kurangnya 10,000 peluang pekerjaan dan juga bakal membantu perusahaan tempatan,” katanya selepas majlis pelancaran MTC di sini, semalam.

Yap berkata, Meridian menyasarkan peningkatan kemasukan dua juta pelancong dan 1.5 juta pelancong bermalam ke Melaka apabila projek MTC siap kelak.

Pada 2018, purata kedatangan pelancong ke Malaysia seramai 28 juta orang dengan 15 juta daripadanya ke Melaka dan 1.5 juta adalah pelancong bermalam.

Ketika ditanya mengenai nilai keseluruhan projek MTC, beliau berkata, Meridian kini dalam proses untuk menyiapkan dokumen pembiayaan dan pelaburan.

Katanya, projek ini berada di peringkat awal dan Meridian serta entiti persendirian di bawah namanya, M101 Holdings Sdn Bhd baru saja memeterai perjanjian pelesenan bersama Hasbro Live.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 7:32am
d