bisnes

Celcom mantapkan pengurusan korporat

Oleh Nabil Basaruddin

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) mengumumkan pelan untuk mengukuhkan pasukan pengurusan operasi dan koporatnya dengan beberapa pelantikan jawatan pengurusan kanan syarikat itu.

Pelantikan itu dilihat selari dengan strategi syarikat dalam meluaskan portfolio perniagaan dan memperkukuh pertumbuhan syarikat dalam menguruskan transformasi syarikat telekomunikasi itu kepada sebuah organisasi digital.

Sebagai sebahagian daripada perancangan dan strategi itu, syarikat melantik Shanti Jusnita yang berpengalaman luas selama 21 tahun dalam dunia telekomunikasi sebagai Ketua Perkhidmatan Pelanggan dan Pegawai Pengalaman bermula 8 April 2019.

Shanti sebelum ini berkhidmat di Maxis Berhad sebagai Ketua Teras Penggabungan dan pernah menjadi Naib Presiden Strategi Pemasaran untuk syarikat itu serta mempunyai pengalaman bersama Telekom Malaysia.

Sementara itu, Celcom turut melantik Azlan Zainal Abidin sebagai Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan yang baharu berkuat kuasa 27 Mei 2019 dan beliau mempunyai pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang operasi dan pengurusan perniagaan dan strategi teknologi maklumat untuk syarikat tempatan dan luar negara.

Azlan sebelum ini berkhidmat sebagai Rakan Kongsi Pengurusan Negara di IBM Malaysia bagi perkhidmatan perniagaan global dan sebelum itu menjadi pengarah urusan di Accenture Malaysia.

Bagi jawatan Ketua Perniagaan Rumah Celcom yang baharu, Khazalin Ghuzal telah dipilih memegang jawatan berkenaan berkuat kuasa 13 Mei ini.

Beliau sebelum ini memegang pelbagai jawatan kanan di Astro seperti Ketua Pegawai Operasi untuk perniagaan televisyen berbayar dan Pengarah NJOI, segmen televisyen prabayar yang mempunyai pengalaman lebih 12 tahun dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Mengulas mengenai beberapa perubahan dan pelantikan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, syarikat kini memasuki era pertumbuhan baharu untuk perniagaan.

“Lantikan ini adalah keperluan untuk mengukuhkan pengurusan dan operasi syarikat dengan menggabungkan bakat tempatan dan global yang memainkan peranan kritikal kepada pembangunan Celcom,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 6:12pm
d