bisnes

Komersialkan fiber

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan kira-kira RM9.5 bilion perbelanjaan modal (capex) berbanding RM12 bilion pada 2018 bagi memenuhi keperluan kapasiti tenaga tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Amir Hamzah Azizan berkata, peruntukkan lebih kecil itu berikutan projek loji Jimah East Power (JEP) dijangka memulakan operasi tahun ini.

Katanya, TNB akan membelanjakan sebanyak RM6 bilion bagi segmen grid manakala RM2.5 bilion pula untuk penjanaan kuasa.

“Segmen penjanaan ini meliputi loji janakuasa Southern Power Generation di Pasir Gudang, Johor yang dijangka beroperasi pada 2020 dan Projek Solar Berskala Besar (LSS) di Bukit Selambau, Kedah.

“Baki daripada jumlah capex ini pula akan diperuntukkan bagi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang mana kami jangkakan segmen ini mampu memberi sumbangan kepada kumpulan menjelang tahun depan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TNB di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Kewangan TNB Nazmi Othman.

Amir berkata, TNB merancang untuk mengkomersialkan perniagaan fiber serta menggunakan rangkaian fiber optik sedia adanya di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang meninjau lokasi yang mempunyai nilai tinggi untuk mengkomersialkan projek berkenaan.

Menurutnya, TNB komited menjadi tulang belakang dalam projek fiber ini dan menyediakan perkhidmatan pukal kepada penyedia perkhidmatan runcit seperti Telekom Malaysia, Astro dan Maxis.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 7:18am
d