bisnes

Bayar tanpa tunai

Oleh hmdigital

KUALA LUMPUR: Boost, penyedia e-dompet tempatan dan KFC menjalin kerjasama bagi membolehkan pelanggan membuat pembayaran menggunakan e-dompet Boost di restoran KFC seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital Sevices, Mohd Khairil Abdullah berkata, kerjasama itu juga bagi mengukuhkan landskap pembayaran tanpa tunai yang semakin berkembang di negara ini menerusi kemudahan e-dompet.

“Kami sentiasa mencari cara mempertingkat pengalaman pelanggan kami secara digital dan melengkapi gaya hidup mereka.

“Kerjasama dengan KFC ini membolehkan kami menyediakan lebih akses, ketersediaan dan kemudahan tambahan kepada rakyat Malaysia untuk melakukan transaksi tanpa tunai dengan Boost dan pada masa sama menikmati ganjaran pulangan tunai.

“Peluang bekerjasama dengan KFC adalah satu kelebihan buat kami untuk mencipta sinergi bagi melancarkan perubahan ke arah masyarakat tanpa tunai di negara ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bagi meraikan kerjasama berkenaan, Boost dan KFC menawarkan rakyat Malay-
sia ganjaran RM5 pulangan tunai daripada pembelian minimum berjumlah RM20 dengan Boost di restoran KFC sehingga 31 Mei ini.

Boost adalah e-dompet terbesar di Malaysia ketika ini dengan empat juta pengguna dan lebih 80,000 titik sentuhan pedagang dalam talian dan luar talian di seluruh negara.

Selain ‘Imbas & Bayar’ di kedai dan cawangan restoran, peniaga pasar malam dan trak makanan, pengguna juga boleh menggunakan perkhidmatan tambahan yang disediakan.

Ini termasuk membayar parkir dan bil utiliti, membeli tiket bas dan kereta api, tiket wayang serta menderma kepada badan bukan kerajaan (NGO) tanpa tunai.

Sementara itu, Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, sebagai pengendali rangkaian restoran terbesar di Malaysia, pihaknya sentiasa peka terhadap perubahan semasa dan pilihan pengguna.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 8:24am
d