bisnes

Harga tambang kompetitif

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan syarikat penerbangan akan menetapkan harga tambang penerbangan yang kompetitif pada tahun ini bagi menangani kadar permintaan yang semakin rendah.

Jangkaan itu berdasarkan Laporan Industri dwitahunan Waypoint edisi keempat apabila MAVCOM meramalkan peningkatan trafik penumpang penerbangan antara 105.5 juta hingga 106.7 juta, bersamaan dengan pertumbuhan trafik di antara 2.9 hingga 4.1 peratus berbanding 2018.

Pengerusinya, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, pihaknya mengunjurkan ketidakpastian yang lebih besar pada masa hadapan berikutan kadar pertumbuhan ekonomi global dan tempatan yang menjadi lebih perlahan.

Katanya, pada 2019 pihaknya menjangkakan tekanan terhadap hasil dan seterusnya memberi tekanan ke atas keuntungan syarikat penerbangan Malaysia.

“Ini berikutan kadar pertumbuhan kapasiti tempat duduk yang diramal melangkaui kadar pertumbuhan trafik penumpang penerbangan.

“Secara purata, harga minyak jet pada 2019 dijangka lebih rendah berbanding tahun lalu dan ini mengurangkan tekanan kewangan dialami syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dr Nungsari berkata, pihak suruhanjaya juga memantau kadar pertumbuhan kapasiti permintaan bagi penerbangan domestik dengan teliti.

Menurutnya, perkara itu termasuk mengambil kira jangkaan penambahan kapasiti tempat duduk apabila ia akan memberi kesan ketara terhadap prestasi kewangan syarikat penerbangan Malaysia.

“Pertumbuhan trafik antarabangsa bergantung kepada pelbagai faktor, tetapi kami ingin melihat peningkatan jumlah trafik penumpang penerbangan bagi destinasi Asean,” katanya.

Laporan berkenaan turut menyentuh mengenai purata perolehan tempat duduk kilometer tersedia (RASK) pada tahun 2018 bertambah secara marginal kepada 16.3 sen.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 8:33am
d