bisnes

Sunny Food perkenal produk durian baharu

SUNNY Food Lab Sdn Bhd (Sunny Food Lab) memperkenalkan konfeksi durian pertama di Malaysia melalui jenama Forbidden yang menampilkan raja buah itu ke tahap baharu melalui inovasi dan teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Damian Lee berkata, pengenalan produk itu adalah selari dengan hasrat syarikat untuk membawa durian ke peringkat lebih tinggi menggunakan bahan terbaik tanpa bahan tambahan.

“Jenama ini lahir dari rasa cinta terhadap durian terutama Musang King dan kami bekerjasama dengan rakan kongsi kami, SunnyHills iaitu jenama nanas yang memiliki reputasi tinggi dari Taiwan serta terkenal dengan konsep dari ladang ke bakeri dan hanya menggunakan bahan semula jadi,” katanya.

Sunny Food Lab memperkenalkan dua produk di bawah jenama Forbidden iaitu D24 Cigar dan Musang King Roll untuk jualan di pasaran tempatan.

Buat masa ini, proses pengeluaran bagi produk jenama itu dihasilkan di Taiwan berikutan kedudukan negara itu yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam industri pembuatan roti menggunakan bahan daripada sumber lestari.

Beliau berkata, selepas ini produk Forbidden dihasilkan di Malaysia sebaik saja syarikat membangunkan infrastruktur lengkap dan memiliki tenaga kerja mahir untuk mengendalikan serta menyelenggara peralatan digunakan dalam proses pengeluaran itu.

“Saya percaya Malaysia boleh membina jenama sendiri sebagai pengeksport utama durian dan pencapaian ini tentu dapat membantu meningkatkan tahap sosioekonomi petani kita dalam jangka panjang,” katanya.

Lee berkata, D24 Cigar dan Musang King Roll disukai pelanggan kerana kualiti durian digunakan dengan buah itu diambil terus dari ladang di Pahang dan kemampuan chef mereka untuk mengangkat keistimewaan durian ke tahap baru.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 9:53am
d