bisnes

Populariti bayaran mudah alih bukan ancaman bank

Oleh BERNAMA

PENINGKATAN populariti pembayaran secara mudah alih di Malaysia tidak dianggap sebagai ancaman penting kepada bank Malaysia, kata RAM Rating Services Bhd.

Agensi penarafan itu berkata, memandangkan terdapatnya kaedah pembayaran elektronik yang lain yang lebih meluas seperti kad kredit dan kad debit, pembayaran mudah alih di Malaysia mungkin tidak dapat mencapai tahap seperti di China.

RAM dalam kenyataan berkata, walaupun jumlah pembayaran menerusi dompet mudah alih yang semakin meningkat dan berkemungkin mengurangkan urus niaga melalui kad kredit bank, pendapatan yuran yang diperoleh daripada transaksi kad hanya menyumbang sebahagian kecil daripada pendapatan keseluruhan bank.

“Walaupun sekumpulan penyedia dompet mudah alih (peserta pembayaran mudah alih) mempeluas ke bidang seperti pinjaman, jumlah pinjaman adalah agak rendah, dengan peminjam lazimnya terdiri daripada peniaga kecil dan usahawan yang biasanya bukan pelanggan sasaran bank,” katanya.

RAM mengakui bahawa pembayaran mudah alih berkembang pesat di seluruh dunia dengan China menjadi hab global untuk pembayaran mudah alih manakala di negara lain, tahap penerimaannya berbeza-beza.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 7:20am
d