bisnes

Pamer harga tiket muktamad

Oleh Nurhayati Abllah

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan dikehendaki mempamerkan harga muktamad tambang penerbangan bagi tujuan pengiklanan dan ketika pembelian tiket, berkuat kuasa 1 Jun ini.

Syarat berkenaan antara pindaan terbaharu bagi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) sebagai melindungi hak penumpang, sekali gus memberi kesan positif secara langsung kepada pengguna.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Dr Nungsari Ahmad Radhi, berkata selaras dengan MACPC, syarikat penerbangan wajib menzahirkan harga muktamad tiket penerbangan.

“Harga berkenaan turut merangkumi tambang asas termasuk semua caj yang perlu dibayar kepada syarikat penerbangan, cukai dan fi yang dikenakan kerajaan, fi dan caj yang ditetapkan di bawah undang-undang bertulis serta surcaj bahan api.

“Langkah ini sebenarnya dapat menghapuskan caj tersembunyi seperti caj pembayaran kad dan yuran pentadbiran.

“Caj lain seperti perkhidmatan tambahan yang dibeli pengguna secara pilih-masuk (opt-in) juga perlu dipaparkan dan dimasukkan ke dalam harga muktamad ketika membuat pembayaran,” katanya selepas perasmian aplikasi mudah alih FlySmart iaitu inisiatif berteraskan pengguna yang diperkenalkan Mavcom, di sini, semalam.

FlySmart membolehkan pengguna mendapat maklumat mengenai hak mereka dan membuat aduan melalui pelbagai platform seperti Instagram, Facebook serta laman web FlySmart.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.

Selain itu, Nungsari berkata, bermula 1 Jun ini, pembayaran balik tiket penerbangan perlu diremitkan (dibayar balik) kepada pengguna penerbangan dalam masa 30 hari dari tarikh permohonan bayaran balik berkenaan.

Pindaan penuh MACPC 2019 boleh didapati menerusi halaman perundangan di laman web Mavcom, www.mavcom.my.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 7:34am
d