bisnes

Perluas perkhidmatan

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

KUALA LUMPUR: Daripada Now Everyone Can Fly kepada Now Everyone Can Travel. Itu adalah antara fokus utama AirAsia Berhad dalam meningkatkan kehadirannya sebagai syarikat digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya mahu melakukan beberapa perubahan bagi memberi peluang kepada pelanggan melancong ke lebih banyak destinasi.

“Kita tidak mahu kekal sebagai syarikat penerbangan yang menawarkan tambang murah saja, sebaliknya memperluas perkhidmatan yang turut meliputi penawaran hotel dan pengalaman beli-belah,” katanya dalam lawatan ke Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein, Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Rashid Yusof dan Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid.

Menurutnya, AirAsia berjaya menjana sehingga RM16 bilion melalui penjualan tiket saja dan pihaknya yakin lebih banyak peluang boleh diteroka.

“Apabila penumpang membuat tempahan tiket ke mana-mana destinasi, mereka juga mencari hotel yang sesuai dengan bajet selain destinasi beli-belah yang boleh dikunjungi.

“Kami melihat ia satu peluang untuk AirAsia menawarkan pengalaman pelancongan lengkap kepada pelanggan yang bertitik-tolak daripada tambang murah,” katanya.

Tony berkata, pihaknya sentiasa beraspirasi untuk menawarkan lebih banyak destinasi pada harga rendah agar lebih tinggi peluang untuk pelanggannya melancong.

“Kami mahu jadikan pelancongan itu mampu dinikmati dan ia seharusnya meliputi semua aspek dan bukan sekadar tambang penerbangan,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 7:43am
d