bisnes

Deria Takbir untuk OKU pendengaran

Oleh Bisnes HM

SEMPENA sambutan Aidilfitri tahun ini, Maxis Berhad (Maxis) menampilkan aplikasi mudah alih, Deria Takbir khusus untuk orang kurang upaya (OKU) pendengaran menikmati takbir raya melalui visual dan getaran

Maxis telah bekerjasama dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) untuk mendalami cabaran-cabaran yang dihadapi oleh komuniti kelainan pendengaran, dan mendapatkan nasihat serta pandangan dari Pegawai Hal Ehwal Islam dan Imam Masjid Ara Damansara, Ustaz Mohammad Khairul Mohd Lias.

Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong berkata, dengan menggunakan ciri-ciri sedia ada dalam iPhone seperti enjin ‘haptic’, aplikasi Deria Takbir berupaya menukar gelombang bunyi secara langsung kepada corak visual ‘cymatic’ dan getaran ‘haptic’, yang membolehkan pengguna merasakan irama dan melodi takbir.

“Di Maxis, kami berusaha menukar perayaan biasa kepada pengalaman yang lebih bermakna, dengan membuka peluang dan potensi teknologi serta memudahkannya untuk diakses oleh semua orang.

“Kempen ini amat bermakna kepada kami kerana terdapat ramai pihak yang terbabit dalam membangunkan aplikasi ini.

“Kami didorong oleh potensi besar dalam setiap diri manusia dan peranan yang dapat dimainkan oleh Maxis untuk mengupayakan rakyat Malaysia dan Malaysia sebagai sebuah negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Aplikasi Deria Takbir boleh dimuat turun di App Store sejak 24 Mei lalu.

Bersempena dengan pelancaran aplikasi itu, Maxis juga menghasilkan sebuah filem pendek, 'Deria Takbir Raya’, yang menyoroti kehidupan Faiz, seorang budak lelaki OKU pendengaran.

Pada Hari Raya, bapanya memberikannya iPhone yang mempunyai aplikasi Deria Takbir dan untuk kali pertama dalam hidupnya, Faiz dapat menikmati alunan takbir raya.

Disiarkan pada: May 29, 2019 @ 1:46pm
d