bisnes

Jualan CJ WOW SHOP RM54.5 juta S1

Oleh hmdigital

KUALA LUMPUR: Segmen beli-belah Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), CJ WOW SHOP merekodkan peningkatan dalam keseluruhan jualan kepada RM54.5 juta pada suku pertama (S1) tahun kewangan 2019

Peningkatan itu adalah sebanyak 24 peratus daripada RM44 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu meskipun industri media tempatan terus berdepan dengan cabaran dalam landskap ekonomi semasa.

Media Prima Berhad (Media Prima) dalam satu kenyataan berkata, keadaan operasi dan ekonomi yang mencabar memberi kesan kepada prestasi keseluruhan kumpulan.

Kumpulan media itu turut mencatatkan perolehan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019 sebanyak RM239.1 juta berbanding RM280.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, syarikat juga merekodkan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM42.8 juta pada suku berkenaan berbanding RM23.0 juta pada tahun lalu disebabkan penurunan pendapatan pengiklanan dan jualan akhbar.

“Bagi segmen digital, Media Prima mencatatkan perolehan RM17.4 juta dalam tempoh itu berbanding RM19.1 juta pada suku sama tahun lalu disebabkan pertumbuhan perlahan daripada pengiklanan digital dan pemasaran digital pada awal tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, sebagaimana bukti pada trend sebelum ini, syarikat percaya keputusan ini tidak mencerminkan prestasi kumpulan bagi keseluruhan tahun kewangan.

Katanya, suku pertama tahun ini adalah tempoh mencabar bukan saja kepada sektor media disebabkan keadaan makro ekonomi yang tidak memuaskan seperti sentimen pengguna yang lemah dan pertumbuhan kasar produk domestik yang rendah, memberi kesan kepada pelbagai industri.

“Dalam keadaan tidak menentu ini, kami menjangkakan prestasi lebih baik bagi suku tahun kewangan akan datang di mana kami menyesuaikan perniagaan dengan pemulihan ekonomi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid berkata, perubahan struktur dalam sektor media akan terus mengganggu segmen tradisional.

Bagaimanapun, katanya, jenama tradisional sedia ada akan terus menerajui peluang kepada sumber kewangan kukuh dan pencapaian lebih luas.

“Perolehan digital dan perdagangan akan kekal menjadi fokus utama pada pada tahun kewangan 2019.

“Kita juga akan menjadi pemain mantap dalam segmen digital dengan meraih kedudukan bagi kandungan dalam peralatan mudah alih di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 9:21am
d