bisnes

RM54j tampil segar

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PETALING JAYA: Sunway Resort Hotel & Spa memperuntukkan sebanyak RM54 juta bagi proses kerja penambahbaikan dan pengubahsuaian bilik mesyuarat, ruang acara dan dewan utamanya.

Proses penambahbaikan itu dijalankan selama empat bulan yang merangkumi ruang di ketiga-tiga tingkat hotel terbabit.

Kemudahan itu juga ditutup selama empat bulan bagi menjalankan kerja pengubahsuaian sebelum dibuka semula pada November 2018.

Pengurus Besar Klusternya, Roger Marcz berkata, pihaknya mereka bentuk semula ruang acara dan dewan utama di Sunway Resort Hotel & Spa bagi memenuhi perubahan landskap yang menepati permintaan serta cita rasa pelanggan.

Katanya, sejak dibuka pada 1996, hotel ini sudah banyak memainkan peranan sebagai lokasi acara antarabangsa dan tempatan.

“Sudah tiba masanya, kami menampilkan sesuatu yang segar dan baru sekali gus memberi pengalaman terbaik kepada pelanggan yang memilih Sunway Resort Hotel & Spa sebagai lokasi untuk acara mereka kerana dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

“Perincian semula ruang ini membolehkan Sunway Resort Hotel & Spa menawarkan program untuk aktiviti mesyuarat, acara pelancaran dan bermacam lagi mengikut keperluan serta kemahuan pelanggan,” katanya kepada media di majlis pengenalan ruang acara dan dewan utama Sunway Resort Hotel & Spa di sini.

Dewan utama Sunway Resort Hotel & Spa dilengkapi dengan skrin besar LED berdefinisi tinggi yang mempunyai kesan bunyi dan visual terbaik serta direka dengan beberapa bahagian termasuk bagi majlis makan malam yang bertema seperti Oriental, Bollywood, Muhibbah dan Gatsby ataupun minum petang yang memerlukan pertunjukan visual.

Ia turut diperincikan dengan sistem audio berteknologi tinggi bagi menampilkan suasana, pertunjukan dan demonstrasi bagi menjadikan perjalanan acara lebih menarik.

Dewan utama ini juga mampu memuatkan kira-kira 1,400 sehingga 2,700 pengunjung mengikut susun atur acara yang ditetapkan.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 7:36am
d