bisnes

Tanpa wayar

Oleh Hamizah

KUALA LUMPUR: Panasonic Malaysia Sdn Bhd menyasarkan jualan antara 300 hingga 400 unit sebulan pembersih vakum tanpa wayar terbarunya yang mempunyai kuasa sedutan sekuat 200 watts dan dijual pada harga RM2,999 seunit mulai bulan depan.

Menerusi model MC-BJ980 itu, syarikat menjangkakan mampu menguasai satu pertiga daripada 32 peratus pasaran pembersih vakum tanpa wayar.

Pengarah Urusannya Cheng Chee Chung berkata, permintaan terhadap pembersih vakum berkenaan ketika ini sedang meningkat kerana ciri tanpa wayar yang memudahkan pengguna selain banyak ciri tambahan pada produk itu.

“Pembersih vakum tanpa wayar ketika ini menguasai 32 peratus jualan daripada keseluruhan jualan pembersih vakum.

“Dengan pertambahan kadar penggunaan pembersih vakum ini, ramai pengguna sudah beralih arah menggunakan produk berkenaan untuk kegunaan harian mereka,” katanya pada majlis pelancaran produk itu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusannya, Hiroyuki Muto dan Pengarah Audio Visual Komunikasi Panasonic Malaysia, Ng Hong Ping.

Pembersih vakum seberat 2.6 kilogram itu boleh digunakan tanpa henti sehingga 65 minit.

Tempoh penggunaan yang lama itu disumbangkan oleh lapan bateri sel ion litium berkapasiti tinggi yang terdapat pada pembersih vakum itu dengan tempoh pengecasan penuhnya selama tiga jam.

Menerusi pembersih vakum berinovasi baharu ini, ia mempunyai sensor pengesan debu yang mengesan dan menyesuaikan kuasa sedutan mengikut jumlah habuk serta hama.

Diod pemancar cahaya (LED) pada sensor itu secara automatik akan berubah warna daripada biru kepada merah apabila terdapat habuk atau hama pada kawasan yang hendak dibersihkan.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 7:22am
d