bisnes

Milenial 60% kukuh

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Kira-kira 60 peratus golongan milenial berumur antara 19 hingga 34 tahun di Malaysia mempunyai rekod skor kredit pada tahap baik sehingga kukuh.

Bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan umur antara 35 hingga 45 tahun, kebanyakannya berada pada kategori lemah sehingga sederhana dan mereka yang dalam kedudukan terbaik pula pada kumpulan umur 55 tahun dan ke atas.

Pengurus Kanan dan Ketua Pengguna Langsung RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI) Zuraidah Ahmad berkata, golongan muda khususnya milenial dilihat lebih peka dengan memiliki skor kredit yang baik disebabkan masih tidak mempunyai komitmen yang membebankan.

Beliau berkata, bagi golongan pertengahan, mereka kebiasaannya mempunyai lebih banyak komitmen yang perlu dilangsaikan seperti pinjaman perumahan dan kereta serta perbelanjaan untuk seisi keluarga.

“Dengan kepelbagaian segmen individu yang mempunyai rekod kredit yang berbeza, perkara ini menjadikan penting kepada seseorang untuk mengetahui dan memahami skor yang mereka miliki.

“Perkara ini bukan saja dapat mendidik masyarakat mengenai kepentingan menguruskan kewangan dan komitmen mereka, malah dapat mewujudkan golongan berdisiplin dalam hal ehwal kewangan,” katanya.

Zuraidah berkata, pada dunia masa kini, banyak kemudahan disediakan kepada orang ramai bagi menyemak kedudukan serta laporan kredit mereka.

Katanya, pihaknya selaku agensi menguruskan perkara itu berharap orang ramai sedar kepentingan laporan kredit itu kerana ia mempunyai banyak manfaat.

“Sebagai contoh, apabila mereka mempunyai skor kredit yang baik, ia sedikit sebanyak membantu mereka mendapat pembiayaan yang terbaik dari pihak bank.

“Ini disebabkan, laporan kredit berdisiplin membuktikan anda sebagai individu mempunyai keupayaan untuk membuat pembayaran mengikut masa dan jumlah ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, RAMCI juga mempunyai kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan syarikat multinasional bagi mewujudkan lebih banyak kesedaran mengenai perkara ini.

Katanya, usaha berterusan itu sentiasa diadakan supaya masyarakat lebih terbuka untuk mengambil serius mengenai skor kredit dan pengurusan kewangan berhemah.

“Usaha ini termasuk panduan kepada individu sekiranya mereka didapati disenaraihitamkan oleh institusi kewangan mahupun bank.

“Walaupun mereka disenarai hitam atau didapati bankrap, kami berusaha membantu kerana mereka ini masih mempunyai peluang keluar dari situasi sedemikian,” katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2019 @ 9:23am
d