bisnes

Maybank QRPay diperluas kepada lebih 250,000 pedagang

Oleh hmdigital

KUALA LUMPUR: Maybank yang melancarkan opsyen pembayaran mudah alih tanpa tunainya menggunakan kod QR pada tahun lalu, memperluaskan rangkaian Maybank QRPay kepada lebih 250,000 pedagang di seluruh negara.

Ini susulan penambahan rantaian kedai atau outlet utama baru-baru ini termasuk TGV Cinemas, KK Super Mart, 99 Speedmart dan BIG Pharmacy, kata kumpulan perbankan terbesar di Malaysia itu.

“Ini bakal dipertingkatkan lagi berikutan McDonald’s, Mydin dan Starbucks turut merintis opsyen pembayaran mudah alih di kedai terpilih di Lembah Klang,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan (Perkhidmatan Kewangan Komuniti) Datuk John Chong berkata Maybank merupakan bank pertama di Malaysia yang menawarkan pembayaran QR, dan sejak pelaksanaannya, bank itu menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam penggunaannya.

“Tahun ke tahun, nilai transaksi telah berkembang lebih tujuh kali ganda dan penerimaannya yang semakin meningkat dalam kalangan pedagang dan pengguna, kami menjangkakan ia akan terus meningkat tahun ini,” katanya.

Beliau berkata Maybank QRPay khususnya bermanfaat kepda perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana ia merupakan penyelesaian kos rendah bagi penerimaan pembayaran tanpa tunai.

“Di samping mengurangkan pengendalian tunai dan menyediakan kemudahan kepada pelanggan mereka, kelebihan istimewa yang ditawarkan Maybank QRPay kepada pedagang yang menyertainya adalah akses kepada pangkalan pelanggan Maybank yang besar,” katanya.

Dengan lebih 11 juta pengguna Maybank2u berdaftar, potensi bagi perniagaan itu, terutamanya PKS adalah amat besar kerana mereka boleh memanfaatkan kumpulan pelanggan yang luas dan mempunyai akses kepada platform mudah alih Maybank2u, katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 8:40am
d