bisnes

Celik kewangan cara Prudential

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Peneraju sektor insurans, Prudential Assurance menyasarkan untuk membantu kira-kira 250,000 golongan kanak-kanak di Malaysia menerusi program celik kewangan yang dilaksanakannya, Cha-Ching.

Pengerusi Prudence Foundation, Donald P Kanak berkata, program berkenaan merangkumi satu siri video muzik selama tiga minit yang membantu kanak-kanak untuk mempelajari mengenai konsep asas pengurusan kewangan seperti menabung, berbelanja dan menderma.

Beliau berkata, Prudential Assurance melaksanakan program berkenaan kepada kanak-kanak atau pelajar sekolah yang berumur antara 7 dan 11 tahun melalui Prudence Foundation sejak 2014.

Menurutnya, pelaksanaan Cha-Ching bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak di Malaysia, malah ia memberi pendedahan kepada lebih 330,000 kanak-kanak di negara ini, Filipina, Kemboja, Vietnam dan Indonesia.

“Sebanyak 87,000 kanak-kanak Malaysia melalui program ini dan kami berharap untuk memberi manfaat kadar celik kewangan ini kepada lebih 250,000 kanak-kanak atau pelajar sekolah menjelang 2023.

“Bagi kami, ia adalah penting kepada golongan muda seperti ini untuk mempunyai kefahaman yang jelas dan pengetahuan mengenai cara mengurus kewangan sejak dari kecil lagi,” katanya.

Kanak berkata, tahap kesedaran pengurusan kewangan ataupun celik kewangan dalam kalangan generasi muda adalah rendah dan ia dilihat begitu membimbangkan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Jenama Prudential Assurance Malaysia Bhd, Fiona Liao berkata, pihaknya menganjurkan pelbagai acara seperti karnival untuk menarik minat kanak-kanak bagi program Cha-Ching ini.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 8:57am
d